Tuesday, September 16, 2008

Di mana Iman???



Iman yang Turun Naik

“Biasalah iman manusia ni turun naik. Hari ini semangatnya berkobar-kobar dan berapi hingga mampu membakar dan menerangi kegelapan malam dengan segala jenis ibadah-ibadah sunat, membaca dan mentaddaburi Kalamullah serta macam-macam lagi. Tapi entah esok lusa, semangatnya beku dan kaku.”

Benarkah iman manusia turun naik? Wujudkan fenomena iman yang turun naik seolah-olah turun dan naiknya pasaran Bursa Malaysia? Kerapkali keadaan ini melanda kita. Hari ini semangat kita berkobar-kobar ingin lakukan semuanya. Dari yang wajib hinggalah yang sunat sedaya upaya di lakukan. Entah esok pula, semangat kita hilang di hembus angin kenikmatan duniawi.

Firman Allah SWT,

Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Qur’an), Kami adakan baginya setan (yang menyesatkan) maka setan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya (43:36)

Allah jadikan syaitan bagi orang-orang yang berpaling dari Al Quran sebagai rakan mereka. Rakan yang menyesatkan dan membawa kepada sesuatu yang di murkai Nya.

Kita takkan pernah sedar bilakah waktu bermulanya persahabatan kita dengan syaitan laknatullah, takkan pernah ketahui bilakah tika dan saatnya bibit permulaan perhubungan kita dengan iblis menjadi semakin rapat dan akhirnya menjadi rakan karib kita. Setia bersama di mana sahaja kita berada. Memberikan pandangan dan panduan kepada kita dalam berbagai-bagai perkara. Panduan dan pandangan yang membawa kita terus kepada kemurkaan Allah.

Tanpa kita sedar kita kerapkali bergantung kepadanya dalam setiap perkara. Dan tidak lagi bermohon kepada Allah. Kerna pada ketika itu kita telah serahkan setiap kelumit rasa percaya kita kepada Iblis laknatullah. Terima semuanya tanpa banyak berdolak-dalih. Sami’na wa ata’na. Kita dengar dan taat kepada sahabat baru kita ini.

Kita terus ternanti-nanti agar iman kita naik dan berkobar-kobar semula. Tetapi kita telah termakan tipu daya syaitan. Yang sejak dari awal tercari-cari ruang untuk memperdaya anak Adam. Tidak pernah berputus asa mencari ruang untuk menyesatkan. Dan syaitan tersenyum lebar bila dia mula menjadi rakan karib manusia.

Tidak cukup menjadi rakan karib, syaitan ingin lebih dari itu. Syaitan mahu banyak lagi. Syaitan tidak hanya mahu dituruti setiap tutur katanya. Syaitan ingin katanya menjadi arahan yang perlu di turuti. Maka pada satu saat ketika dimana kita lalai ternanti-nanti peningkatan iman semula, syaitan mula melebarkan sayapnya. Dari sahabat bertukar menjadi pemimpin.

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan

sebagaimana ia Telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya ‘auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya kami Telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman. (7:43)

Pada saat syaitan menjadi pemimpin, hati kita menjadi beku. Sejuk dan kaku. Otak tidak mampu berfikir secara waras. Kewajipan kepada Allah mula kita lalaikan. Lalai tanpa kita sedari. Hidup bagai tiada hala tuju. Padahal arahnya telah tertulis sekian lama dahulu, untuk menghambakan diri kepada Khaliq.

Kadang-kadang kita sedar, kadang kala kita tahu apa yang kita inginkan. Apabila semangat kita berkobar-kobar dan iman menebal di dada bermacam-macam azam yang terpasang dalam diri. Setiap hari seandainya mampu, kita mahu diri kita yang pertama berada di masjid menunggu untuk menunaikan solat dari satu waktu ke waktu berikutnya. Seandainya kita mampu kita mahu jadi insan yang sentiasa khusyuk dalam solat, tidak pernah lalai walau sesaat, ingin jadi insan yang sentiasa berzikir dan dan berdoa kepadaNya.

Tapi benarkah kita mampu lakukan semua ini? Saat azan mula berkumandang, saat kaki mula bergerak ke saf dalam jemaah, saat takbir mula di lafaz, kita mula berubah. Berbagai persoalan mula menerjah ke dalam fikiran. Hal dunia yang tidak pernah habis.

Usai solat kita mula terfikir itu dan ini. Kemanakah hilangnya khusyuk dalam solat yang di azamkan? Mengapa sukar untuk kita ketepikan hal duniawi yang sentiasa menghalang-halangi jalan menuju redha pencipta? Bilamana kita ketemui penyebab kepada semua ini, kita tidak mampu pula untuk menelan penawarnya. Kerana hati kita telah di kelirukan oleh akal yang di cemari kata-kata syaitan yang dahulunya menjadi sahabat kita tetapi kini bertukar meninggikan lagi tarafnya menjadi pemimpin kita.

ƒ

Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah)

dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan setan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. (6:43)

Manusia Antara Langit dan Bumi

Tahukah kita tentang satu kedudukan manusia yang nyata? Manusia kedudukannya sentiasa berada di antara langit dan bumi. Berterusan dalam keadaan sedemikian rupa. Kadangkala tertarik lebih ke bumi, dan kadangkala terangkat ke langit.

Kedudukan manusia yang sentiasa berada antara langit dan bumi di simpulkan kerana manusia terdiri dari dua bahagian. Bahagian pertamanya adalah jasad dan bahagian keduanya adalah ruh. Jasad manusia asal kejadiannya adalah dari tanah, yang secara terangnya berasal dari bumi.

Œ

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah”.

Maka apabila Telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; Maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya”.

Jasad adalah unsur yang sentiasa menarik manusia ke bumi manakala ruh adalah unsur yang membawa manusia ke langit. Semakin manusia di bawa oleh jasad, semakin ia tertarik ke bumi dan menjauh dari langit sehingga pada satu ketika hubungan manusia dengan Allah SWT akan terputus.

Begitula juga sebaliknya, setiapkali ruh dan hati manusia lepas dari ikatan-ikatan dunia maka ia akan naik ke langit sehingga hubungan dengan penciptanya semakin kuat mencapai derajat penisbatan kepadanya. Oleh kerana itu kita hanya mempunyai dua pilihan, samada menisbatkan diri kepada langit atau bumi.

Memang benar kadangkala hati kita kerapkali tertarik ke bumi dan perhiasannya. Dan dalam masa yang sama juga hati kita tertarik ke langit. Namun harus kita ingat bahawa apabila hati ini kerapkali tertarik kepada bumi dan perhiasannya maka hubungan hati dengan Allah akan menjadi lemah. Lemah kerana hati ini lebih tertumpu kepada hal-hal duniawi.

Hati mengandungi pelbagai perasaan. Perasaan sayang, cinta, benci, bahagia, sedih dan lain-lain lagi. Hati menjadi anggota utama dalam membuat sebarang keputusan manakala anggota lain mengikut segala perintah yang terbit dari hati.

Nu’man bin Basyir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda,

Ingatlah, sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal darah. Jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ingatlah

sesungguhnya ia adalah hati.

(HR Bukhari dan Muslim)

Tentera hati adalah akal. Akal seharusnya mampu menapis segenap ancaman-ancaman dunia yang cuba menyerang hati. Akal yang bersih juga mempengaruhi hati dan pemikiran manusia. Oleh kerana itu akal perlu sentiasa di latih dan di penuhkan dengan ilmu pengetahuan yang mampu menepis semua ancaman dari musuh. Musuh hati adalah nafs, nafs mencakupi syahwat dan hawa nafsu kita. Ia adalah musuh utama yang harus di hapuskan oleh akal manusia.

Allah menciptkan nafs untuk menguji sejauh mana hambanya mampu menepis godaan dunia. Sejauh mana hambanya mampu mengawal nafs dan menumpukan sepenuh usaha dan kesungguhan untuk menghambakan diri kepadaNya. Oleh kerana itu kita seharunya mentaatiNya sekalipun ia bertentangan dengan nafs kita. Jika manusia membela tuhannya maka dia menjadi hambaNya dan jika manusia membela nafs maka dia akan menjadi hambanya.

Segala keputusan yang di buat dan keluar dari hati harus menunjukkan pembelaan kepada iman kerana setiap kali keputusan cuba di buat pasti ada peperangan antara iman dan nafsu. Peperangan akan terhenti bila ada kemenangan dari salah satunya. Sekiranya iman menang maka seluruh anggota akan tunduk kepadanya manakala jika sebaliknya yang menang dalam pertempuran maka seluruh jasad dan ruh manusia akan tunduk kepadanya.

Ibnu Abbas meriwayatkan dari Rasulullah SAW,

Tidaklah seseorang berzina sedangkan

saat itu dia beriman, tidaklah seseorang mencuri sedangkan saat itu dia beriman, tidaklah seseorang meminum khmar sedagkan saat itu dia beriman, dan tidaklah seseorang itu membunuh sedangkan saat itu dia beriman.

(HR Bukhari dan Ahmad)

robbanic generation

88999 kota kinabalu

sabah

http://zikrulmaut.wordpress.com/

http://halaqahbyu.multiply.com/

No comments:

Related Posts with Thumbnails