Saturday, March 13, 2010

Pilihlah Aku Untuk Ikhlas Ya ALLAH..



Sejenak kita renungkan..

Semoga ada ikhtibar yang kita dapat ambil bersama dalam melayari bahtera kehidupan.

Orang yang sibuk melakukan kebaikan tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain. Demikian kata2 hukama yang menerjah ruang fikiranku. Ah, betapa kurangnya kau melakukan kebaikan.. bisik hati kepada diri sendiri. Justeru, mata, telinga dan indera yang lain masih sempat melihat, menghidu dan menuturkan kejahatan orang lain. Terasa diri amat hina, ketika usia melonjak dengan begitu cepat, diri terasa masih merangkak-rangkak menyusur jalan taubat.

Betapa sekali-sekala melakukan kebaikan terasa hebat bukan kepalang. Tanpa sedar riak bertandang. Terasa ingin dipamerkan segala-galanya agar dipuji dan disanjung dengan kata-kata dan anugerah manusia. Biar terserlah siapa aku, bisik ego diri. Padahal nilai amal yang sebegitu tidak ada harganya walau sedebu. Apatah lagi ALLAH yang pastinya tidak akan menerima sebarang sekutu. Dan manusia pun akhirnya akan memandang sinis dan loya dengan ‘aku’ mu.

Apabila riak itu adalah tertipu dengan kehadiran manusia, sum’ah pula terpedaya tanpa kehadiran sesiapa. Walaupun sesiapa di mata tetapi di hati masih mengharap-harap amal yang kononnya disembunyikan itu diketahui juga oleh manusia. Ah, alangkah indah rasanya apabila amal yang cuba disembunyikan itu diketahui lalu diheboh-hebohkan pula. Ah, hebatnya dia! Begitu kata sanjung yang dijunjung. Pada ketika itu hati pun berbunga. Aduh, sum’ah lebih dasyat tipuannya daripada riak.

Apabila terlepas diri daripada keduanya, menanti pula musuh ketiga yang tidak kurang hebatnya... ujub! Takjub dan berasa hairan terhadap diri sendiri. Kali ini bukan pujian manusia yang terang dan bersembunyi yang diharapkan tetapi pujian diri terhadap diri sendiri. Betulkah ini aku? Alangkah hebatnya. Terasa diri bagaikan wali apabila amal ibadah mengatasi orang lain. Aku bukan manusia biasa. Aku tinggi mengatasi semua. Ujub hakikatnya lebih sukar dikesan dan dirawat berbanding riak dan sum’ah.

Bukan mudah untuk ikhlas. Semakin dicari terasa semakin misteri. Memang, ikhlas itu rahsia dalam rahsia ALLAH. Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana ALLAH..itu tidak ikhlas. Meninggalkan satu kejahatan bukan kerana ALLAH.. itupun tidak ikhlas. Kekadang begitu ikhlas hati ketika memulakan amal, tetapi sampai dipertengahan, kecundang oleh sesuatu yang selain ALLAH. Ya ALLAH, aku benar-benar pasrah. Perjuangan untuk ikhlas terlalu seru dan keliru. Bantu aku, memahami dan menangani rahsia ini.

Beribadahlah sehingga terasa penat untuk melakukan maksiat. Begitu pesan hukama yang menjadi kompas hati. Buatlah apa sahaja kebaikan sejak sebelum terbit fajar sehingga terbenam mentari. Ikhlas atau tidak jangan diperkirakan dulu. Jangan mengukur kesempurnaan di garis permulaan amal. Beramallah walau hati terganggu oleh mazmumah dan ikhlas diintai oleh riak dan sum’ah. Pedulikan ujub yang menanti masa untuk menyusup. Tega dan relakan sahaja.

Teringat apa yang dipesankan oleh Imam Ghazali ketika muridnya bertanya, “Tuan, bagaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai?” Lalu Imam yang arif dalam soal keajaiban hati itu pun berkata,”Teruskanlah berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada berkata-kata yang kotor dan sia-sia.”

Teringat pula apa yang pernah ditanyakan oleh Abu Hurairah kepadada Nabi Muhammad SAW tentang seorang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Lalu Rasulullah menegaskan solat itu lambat-laun akan menghilangkan tabiatnya yang buruk itu. Jadi, jika dirimu masih melakukan kejahatan, ingatlah itu bukan alas an untuk tidak dan berhenti melakukan kebaikan. Bahkan iringilah perbuatan dosa dengan kebaikan kerana kebaikan itu lambat cepat akan menghapuskan kejahatan.

Aku hanya insan kerdil di lautan rahsia ikhlas yang sangat dalam. Yang terjangkau olehku hanyalah sebutir percikan ombak dipermukaannya. Namun, aku juga hamba ALLAH yang berhak menuju-NYA. Ketika aku keliru, tunjukkanlah. Ketika aku lemah, perkukuhkanlah. Ketika alpa, ingatkanlah. Hanya Dikau wahai ALLAH yang berhak memilih sesiapa untuk dianugerahkan rasa ikhlas itu. Padaku hanya tadbir..pada-Mu segala takdir. Bantulah aku meluruskan tadbirku menjurus kepada takdir-Mu.
Pilihlah aku untuk ikhlas.. Amin!

sumber = SiNaR aBaDi

No comments:

Related Posts with Thumbnails